Pages

Satu manifesto untuk orang ramai


* Penulis favorite aku... keras, berinfo dan penuh satira... lihat dari sudut yg lebih terbuka dan atas dasar ilmu.

DARI JELEBU
Hishamuddin Rais

Pilihan raya akan sampai tidak lama lagi. Bahang telah lama dirasakan. Belabon tentang politik di Malaysia ini telah menjadi hobi yang mutlak. Semua warga memiliki pandangan politik. Dari CEO-GLC hinggakan ke Mat Warung tepi jalan - semua memiliki ramalan tentang tarikh pilihan raya.

Para politikus kelas C, Mat Bakal Calon, Mat Cari Kontrak Pasang Bendera – semuanya yang sedang bersiap sedia. Bersedia untuk apa, saya sendiri pun kurang arif. Tetapi semua warga akan tertanya-tanya satu soalan – pilihan raya bila ha…?

Saya arif dalam satu perkara. Saya tahu pilihan raya ialah satu temasya – satu pesta. Pilihan raya ialah Pesta Rakyat yang lebih hebat dari Pesta Mandi Safar, lebih seronok dari Maal Hijrah. Kalau Hari Raya pestanya hanya sehari dua sahaja. Berbanding dengan ‘berpilihan raya’ rakyat berpesta hampir tiga minggu. Ini lebih rock dari Woodstock, lebih dangdut dari gerudi Inol.

Saya yakin pilihan raya kali ini tidak jauh bezanya dari yang lalu. Mat Politikus dan Mat Bakal Calon dari semua parti akan mula menonjolkan muka. Minah Menteri Janda ( yang dirahsiakan jandanya) tiba-tiba ada suami lamanya datang untuk bergambar –kunon posing sebagai keluarga Mithali - kalau tidak percaya cerita saya ini sila tanya Sharizat dari Bukit Jalil.

Najib a.k.a Altantuya a.k.a Najib Kapal Selam akan menjadi lebai, pakai ketayap sambil kumat kamit mulut berdoa agar berat badan isterinya menurun. Songkok, kain pelekat, kain tudung dan tasbih akan naik harga di Jalan Masjid India kerana semua Mat Bakal Calon ingin dilihat lebih suci dari Sai Baba, lebih bersih dari sabun Breeze. Kalau boleh bersunat mereka akan bersunat sekali lagi.

Saya memang sinikal terhadap pilihan raya. Ini kerana saya memiliki falsafah - jika pilihan raya boleh mengubah apa-apa telah lama pilihan raya ini di haramkan oleh Mahafiraun.

Mari kita lihat apa yang berlaku di Pakistan. Ini bukan mengikut propaganda Najib yang mengatakan huru hara akan timbul jika rakyat Malaysia bangun seperti rakyat Pakistan. Sebenarnya jika rakyat Malaysia bangun seperti rakyat Pakistan yang huru hara ialah Najib sendiri kerana rakyat ingin tahu berapa banyak dia dapat duit komisen dari membeli kapal selam Perancis. Rakyat juga ingin tahu semasa dia makan malam dengan Altantuya di Paris, siapa yang bayar bil. Apakah masuk bil kerajaan atau masuk bil Razak Baginda. Inilah yang akan menghuru harakan Najib. Bila Najib huru hara kita semua boleh berpesta lagi.

Kembali ke Pakistan - lihatlah di mana wujud kemungkinan besar Partai Rakyat Pakistan (PPP) akan menang. Benazir Bhutto pemimpin Parti Rakyat Pakistan berkemungkinan menjadi Perdana Menteri untuk kali ke tiga melalui pilihan raya. Apa terjadi? Kelas pemodal dan kumpulan-kumpulan yang memiliki kepentingan ekonomi di Pakistan telah ‘melupuskan’ Benazir. Siapa yang menembak dan siapa yang meletupkan bom itu tidak penting. Yang penting ialah siapa dapat keuntungan ekonomi dari mengagalkan kemenangan Parti Rakyat Pakistan.

(Orang yang menanda tangani kontrak beli kapal selam di Paris tidak penting. Apa yang penting ke mana duit komisen itu pergi. Dan duit siapa yang membeli cermin mata hitam besar a la Jackie Onasis untuk Altantuya).

Kemudian mari kita berjalan ke Afrika untuk menengok apa yang sedang berlaku di Kenya. Satu pilihan raya baru sahaja di jalankan pada bulan Disember 2007 di negara itu Hasilnya parti pemerintah hanya berjaya melebihi 200,000 undi sahaja. Undi yang 200,000 ini datangnya dari kiraan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kenya.

SPR Kenya yang dilantik dan dibayar gaji oleh parti pemerintah telah menjalankan segala macam tipu helah. Ada peti undi hilang terutama dari lubuk pembangkang, Ada yang tidak dapat mengundi, ini juga dari kawasan-kawasan pembangkang. Banyak pengundi hantu muncul terutama dalam kawasan-kawasan pro pemerintah. ( Ini macam dah biasa dengar!)

Seharusnya melalui pilihan raya satu warga satu undi ( macam di Malaysia ) rakyat Kenya telah bertukar kerajaan. Tetapi ini tidak berlaku. Para YB-YB dan para menteri yang kalah dalam peliharanya telah memulakan pergaduhan suku bangsa. Ini pergaduhan orang hitam dengan orang hitam. Ini bukan pergaduhan di antara penduduk asal dengan imigran. Ini pergaduhan orang Afrika yang berlainan suku bangsa. Ratusan rakyat mati dibunuh. ( Ini pun macam dah pernah dengar !)

Krisis pilihan raya di Kenya - jalan penyelesaian di cari. Wakil kerajaan lama meminta agar semua kes jumlah undi yang disangsikan di bawa ke mahkamah untuk dibicarakan. Pihak pembangkang ketawa berdekah-dekah ( ha ha ha ) sambil menolak cadangan ini kerana semua hakim dan mahkamah telah dilantik oleh kroni kerajaan lama. Mahkamah hanyalah satu lembaga tipu helah pemerintah ( ini pun macam pernah dengar – kalau nak dengar lagi buka Lingam Tape dan sila tanya Wee Chee Keong ).

Akhirnya Kesatuan Afrika ( Organisation of African Unity ) telah menghantar wakil untuk membawa kedua–dua kumpulan yang mengaku menang untuk duduk berunding. Secara rasional langkah ini dilihat oleh masyarakat dunia sebagai satu jalan yang baik – jalan berunding.
Tetapi belum pun sempat wakil Kesatuan Afrika sampai ke Nairobi, bekas Perdana Menteri lama ( yang kalah undi tetapi mengaku menang ) telah menubuhkan kabinet dan mengangkat sumpah.

Bila saya menulis ini rakyat Kenya masih belum ada kerajaan dan angka rakyat dari kedua-dua kumpulan yang mati dibunuh telah melintasi 500.

Apa yang dapat kita pelajari dari kes pilihan raya Kenya dan Pakistan ini ialah pihak yang berkuasa TIDAK akan melepaskan kuasa mereka dengan begitu senang. Mereka memiliki kepentingan ekonomi. Kroni dan adik-beradik mereka sedang menjalankan projek-projek kerajaan. Tidak mungkin para menteri yang kalah undi akan berundur meninggalkan kuasa. Jangan mudah lupa - kalau rakyat tidak turun berdemo pada tahun 1998/99 dahulu Mahathir Muhamad masih lagi PM Malaysia. Dalam sejarah dunia para diktator, kerajaan zalim, rejim militer seperti rejim Haji Muhamad Suharto tidak akan berundur walau pun mereka kalah undi.
Bagaimana pula dengan rejim militer di Thailand? Mereka telah mengadakan pilihan raya pada hujung tahun lalu.

Betul. Tetapi pilihan raya ini berlaku setelah ratusan ribu rakyat Thai keluar berdemo ke jalan-jalan raya menuntut agar rejim Thaksin yang rasuah dimansuhkan. Jika pilihan raya ini tidak diadakan orang Siam akan berdemo lagi untuk menuntut hak mereka. Inilah yang dipanggil kuasa rakyat. Rakyat bangun beramai-ramai menuntut hak mereka. Orang Siam memilih pilihan raya dan pilihan jalan raya.

Apakah pilihan raya ke 12 di Malaysia ini telus? Jawabnya TIDAK. Peti undi plastik yang dapat dilihat luar dalam itu bukan bermakna pilihan raya itu telus. Maknanya hanyalah ada malaon kroni yang dapat kontrak membuat peti itu.

Apakah pilihan raya ini satu pesta? Jawabnya BETUL. Dalam pesta ini kita semua akan terlalai dan terperangkap oleh bunyi hingar bingar gendang yang dipalu. Seruling dan nafiri akan mendodoikan kita untuk berkhayal. Kita berkenduri kendara. Janji-janji akan ditabur – sambil bersalam sambil dapat duit saku.

Dalam pesta ini rakyat akan ditipu lagi. Sesudah pilihan raya berlangsung kita akan mendengar cerita yang sama. Nama hilang dari daftar mengundi, yang mati datang mengundi, lampu padam ketika mengira undi, kertas penamaan calon salah dan dan dan...

Hanya ada satu manifesto untuk orang ramai : Bangun dan lawan – lawan sampai menang.

kuchalana

Only Those Who Risk Going Far Can Possibly Find Out How Far They Can Go

2 comments :

.::WaNiE::. said...

hubby wani baru daftar spr last week, so this monday i try to check kat spr punya system tu kan, surprisingly nama china yg kuar

Heartless Devilish said...

nanti jgn luper gi memangkah