Pages

Malaysia di ambang muflis

* cukup menakutkan fakta yg diberikan.

Malaysia di ambang muflis

KAMAL AMIR MENULIS

UNTUK tahun ini sahaja Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan sebanyak empat projek mega yang menelan lebih 500 billion ringgit, merangkumi pembangunan Wilayah Iskandar, Pembangunan Koridor Utara, Koridor Pantai Timur dan jambatan kedua Pulau Pinang.

Kesemua projek tersebut cukup gah, cukup mempersonakan, malahan setiap rakyat boleh teruja dengan pengumuman sedemikian. Tiada lagi jumlah juta-juta, jauh sekali ratusan ribu ringgit, sebaliknya lagak orang kaya baru Abdullah menyebut angka billion-billion ringgit.

Dua tahun lalu pasca awal memegang teraju kepimpinan negara seringkali dia mengatakan negara sudah kehabisan wang, banyak wang negara telah lesap hinggakan keadaan ekonomi terjebak menjadi sebegitu sukar.

Hairannya selepas dua tahun, tanpa adanya petunjuk rangsangan kemantapan ekonomi, kalaupun sekadar pengumuman Gabenor Bank Negara lima bulan lalu dagangan negara mencecah angka trillion ringgit, tiba-tiba Abdullah mula seronok mengumumkan pelaburan berbillion ringgit.

Period Dr. Mahathir yang digelar mahafiraun dan mahazalim sekadar berbelanja sekitar 350 billion untuk kos pembangunan sepanjang musim pemerintahannya selama 22 tahun (sila lihat laporan kewangan negara), tapi untuk kerajaan Abdullah Ahmad Badawi dalam tempoh empat tahun sudah riak mengumumkan kos pembangunan lebih lima ratus billion. Itupun tidak termasuk pembangunan “Penang Global Corridor Citycentre” dijangka menelan puluhan billion ringgit.

Kesempatan berbuka puasa bersama Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah kelmarin, penulis sekadar mengajukan persoalan sejauh mana kemampuan negara berbelanja sebegitu besar, secara jujur bekas Menteri Kewangan tersebut menyatakan rasa hairan bagaimana kerajaan mampu untuk membiayai kos tersebut.

“Saya kira kos pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilanpun tidak sampai jumlah empat projek mega tersebut. Malahan timbul pula tanda tanya dihati kecil saya, datang dari mana wang sebanyak itu?

“Kini masanya bukan untuk berbelanja, himpitan kehidupan rakyat semakin mencengkam, soal pengangguran puluhan ribu siswazah masih belum dapat ditangani, bagaimana wang sebegitu besar boleh dibelanjakan? Apakah melalui empat projek tersebut boleh menyelesakan masaalah pengangguran siswazah yang sudah mencapai tahap serious?

“Setiap tahun jumlah pelajar yang keluar dari pusat pengajian tinggi berjumlah puluhan ribu, ertinya puluhan ribu warga negara memerlukan sumber pendapatan. Harga barang terus naik begitu mendadak, nilai ringgit dipasaran semakin susut, lihat sahaja persoalan kenaikan minyak dan barangan keperluan, semua ini memperlihatkan sejauh mana nilai ringgit kita.

“Wang Petronas khabarnya berada diparas cukup genting, jika tidak segera ditangani, saya khuatir negara boleh jadi muflis..!!!!” jelas Tengku Razaleigh.

Sesungguhnya apabila mendengar kenyataan mantan Menteri Kewangan yang cukup berpengalaman menjana ekonomi bangsa dan negara membuatkan hati ini dijengah persoalan kemana bangsaku mahu mengadu nasib di hari mendatang jika kebobrokkan pemimpin sebegini tidak segera dihentikan.

Sebelum ini jarang sekali Tengku Razaleigh Hamzah mahu membuka mulut berhubung soal masa depan ekonomi negara, namun kenyataan negara bakal menjadi muflis dalam tempoh empat tahun dari sekarang jika tidak segera dihentikan “pemborosan” pemimpin, membuatkan saya amat tersentak, seram dan ngeri apakah begini nasibnya rakyat yang terus dibohongi oleh Abdullah Ahmad Badawi bersama kaum kerabatnya untuk terus merampok satu demi satu wang rakyat.

Dua minggu lalu Tan Sri Tengku Mahalel mantan Ketua Pegawai Eksekutif Proton mendedahkan bagaimana wang syarikat kereta nasional sejumlah lebih tiga billion ringgit menjadi lesap dan lebur sebaik sahaja beliau meninggalkan syarikat tersebut.

Kenyataan Tengku Mahalel bukan persoalan remeh, bukan cerita harga kacang putih, jumlahnya besar sebanyak tiga billion ringgit, malahan lebih utama sekali ia memperlihatkan wibawa kepimpinan kerajaan menguruskan syarikat kereta nasional. Bagaimana wang tersebut boleh lesap hingga meletakannya berada dalam keadaan nazak serta menjadi calon pengemis untuk segera dilacurkan kepada syarikat dari luar Negara.

Begitu juga dengan kedudukan syarikat penerbangan Malaysia (MAS), semasa Idris Jala menjadi ketua pentadbirnya banyak asset-asset telah dijual, dan untuk tahun pertamanya beliau bangga mengumumkan keuntungan syarikat tersebut hasil jualan asset sedia ada, tapi kini bagaimana pula keadaannya?

Khabarnya MAS juga sudah mulai dijengah penyakit serba celaru dan tidak menentu, kakitangannya diberitakan bakal menjadi calon penganggur, jika tidak segera dipulihkan sudah pasti syarikat yang kita bebaskan dari cengkaman Singapura atas gabungan MSA satu ketika dahulu bakal kembali dicantumkan……Nauzibillah!!!!

Dan kini Petronas pula dikhabarkan mulai dijengah gerhana untuk terjebak menjadi tenat, seharusnya disaat harga minyak melonjak dipasaran dunia, Petronas wajar mengumpul dana dalam tabungannya bagi kegunaan musim kemarau.

Namun begitu jika kerajaan Abdullah Ahmad Badawi terus leka untuk meratah dan membaham harta rakyat, apakah kita masih reda untuk berdiam diri? Bangsa kita adalah bangsa cinta damai yang merdeka dalam erti kata merdeka sebenar-benarnya, kita adalah rakyat yang berhak secara mutlak menentukan pemimpin.

Jawatan Perdana Menteri bukan tiket untuk membenarkan sesiapapun merampok dan memperkosa ekonomi negar untuk akhirnya dilacurkan kepada dunia luar, rakyat berhak untuk menghalangnya, suara rakyat adalah suara keramat.

Dalam Negara yang mengamalkan demokrasi secara total kebobrokkan pemimpin sebegini mesti segera dihentikan. Tidak perlu untuk kita melakukan demonstari jalanan, keamanan jangan sekali-kali kita gugat, ada banyak cara lain melalui lunas-lunas demokrasi.

Masanya untuk rakyat bangun memperlihatkn kuasa mereka sudah sampai. Suara rakyat mesti dijelmakan dalam bentuk undi tidak percaya terhadap kepimpinan sempang peranang manusia bernama Abdullah Ahmad Badawi yang menjual temberangnya melalui mahzab Islam Hadhari dan sajak awalnya untuk tidak hidup berpoya-poya serta menimbun harta berjuta.

Bagaimana mampu Abdullah menafikan kehidupannya kini bukanlah dalam nur khidupan muslimin yang serba sederhana apabila hiburan irama jazz sudah boleh dibawa masuk ke seri perdana dengan kos lebih satu juta ringgit.

Apakah dapat Abdullah membuktikan bahawa dia masih berpegang pada prinsip Islam sebenar untuk bersederahan dengan tidak membazirkan wang sebanyak itu? Sejak menikah dengan janda anak dua Jaean Danker, sudah dua kali Seri Perdana mengadakan konsert hiburan dalam acara pesta-pestaan untuk kaum elit. Sedangkan sebelum ini empat Perdana Menteri tidak pernah terdengar menganjurkan persembahan konsert dikediaman resmi.

Seingat kita sejak zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Husein Onn hinggalah Tun Dr. Mahathir Mohamad, persembahan hiburan bercorak konsert perdana diadakan di Dewan Audiotrium Besar Angkasapuri serta disiarkan secara langsung agar rakyat dapat menumpang sama mendengar persembahan tersebut. Tetapi apa yang dilakukan oleh Abdullah Ahmad Badawi ia sekadar untuk dirinya bersama kaum kerabat dan diadakan dikediaman rasmi…….cukup tidak patut!!!

Beberapa kalangan pembaca ada menghantar sms dan kritikan agar saya tidak terus menulis persoalan sebegini terhadap Abdullah Ahmad Badawi. Ada yang menyatakan cukup-cukuplah mengkritik Perdana Menteri kerana kehidupan rakyat masih selesa, pusat membeli belah masih penuh dengan pelangan, jalan raya tetap sesak dengan mobil mewah, gaji kakitangan kerajaan sudah dinaikkan, taraf kehidupan rakyat semakin selesa, apa lagi yang rakyat mahukan…….! Itu kata mereka.

Sesungguhnya kepada teman-teman penulis, mahupun cybertrooper tajaan Azlina Othman atau juga parasit-parasit politik di menara Datuk Onn ingin saya jelaskan, bahawa untuk masa ini terlalu aib rasanya untuk kita membenarkan Abdullah melakukan kepimpinan sebegini.
Selagi Abdullah dan sidang wazirnya tidak berubah mentadbir negara secara telus dan beretika, tiada korupsi atau kroni, tiada pilih kasih, maka selagi itu kita tidak boleh berkompromi untuk tidak membalun atau membelasahnya. Hanya satu saja jalan terbaik baginya adalah untuk berundur……..sebelum Umno dikuburkan oleh Abdullah dan sidang wazirnya.

kuchalana

Only Those Who Risk Going Far Can Possibly Find Out How Far They Can Go

2 comments :

Elmer said...

It can't really have success, I consider like this.
colleges in NY | jewlery box | North York hotels

Andrew said...

Really useful information, lots of thanks for your post.
charlotte medical clinic charlotte nc | dental insurance | limo service orange county