Pages

Dan harta rakyat terus dirampok

KAMAL AMIR MENULIS

MENATAP beberapa berita di laman internet menjadikan hati semakin semak, nafas semakin sesak memikirkan untung nasib masa depan negara. Di ambang kehadiran Ramadhan tersiar berita rusuhan hingga mengakibatkan dua anak muda tercedera kerana ledakan peluru hidup dari senjata api anggota pasukan polis berpakaian preman. Setelah begitu berlembut dan bertoleransi dengan para penternak babi di Melaka minggu lalu rupa-rupanya peluru hidup pasukan polis di hala ke dada serta tengkuk anak muda dalam demonstrasi di Batu Buruk, Kuala Terengganu. Satu negara tergamam menatap berita tersebut.

Saudara Zaharin Mohd Yassin lewat halaman "Sang Kelembai" mengutarakan pandangan bagaimana untung nasib khinzir lebih baik kerana tidak ditembak oleh pasukan polis sementara dua anak muda dari parti pembangkang (seperti yang didakwa oleh akhbar arus perdana) terpaksa bertarung untuk hidup di hospital besar Kuala Trengganu. Apakah ini hadiah terbaik untuk umat Islam menjelang kehadiran Ramadhan? Apakah ini merupakan ajaran Islam Hadhari untuk boleh mencederakan sesama umat Islam yang berlainan fahaman politik dalam aroma syahdunya Ramadhan Al Mubarak?

Kelmarin di dada akhbar Utusan Malaysia tersiar berita seorang anggota pasukan polis telah melakukan jenayah ragut apabila berjaya diberkas oleh orang ramai setelah dia cuba meragut beg tangan milik seorang gadis Tiounghua yang sedang melayari internet di sebuah Kafe Siber di Ipoh, Perak. Dengar khabarnya pihak polis sedang menyiasat latar belakang anggota polis tersebut.

Apakah ini yang dikatakan harapkan pagar, pagar makan padi, harapkan ustaz maka ustaz pula yang merogol anak muridnya... alahai!

Semakin menyesakkan nafas bila membaca laporan Ketua Audin Negara Tan Sri Ambrin Buang yang mendedahkan kepincangan paling teruk berlaku di kementerian pimpinan "anak dara trang-tang-tang" Azalina Othman bila Ketua Setiausahanya meluluskan projek pembelian peralatan di Institute Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang pada harga biasa cuma lima juta tetapi sebaliknya diluluskan pada harga 74.2 juta ringgit.

Antara persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Audit Negara itu adalah pembelian kamera digital bernilai RM 8,254.92 sedangkan harga pasaran cuma RM 2,990. Dan begitu juga Jek satu tan harga pasaran cuma lima puluh ringgit boleh dinaikkan menjadi RM 5,741.69. Sementara itu pembelian menara kren jenis Favelle Hammerband k.180 dibeli dengan harga 2.73 juta sedangkan harga pasaran cuma 1.45 juta, menara kren jenis Farelle Farco pula dibeli pada harga 2.99 juta sedangkan harga pasaran sekitar 1.53 juta.

Bagi pembelian kereta terpakai pula sejumlah 15 buah kereta pelbagai jenis termasuk jenama Honda, Toyota dan Proton dibeli dengan harga lebih tinggi sejumlah 1.44 juta, komputer jenis CADD dibayar pada harga RM 20,135 sedangkan harga pasaran cuma sembilan ribu ringgit sahaja. Dan ini termasuklah pembelian 17 set buku kemahiran pertukangan pada harga 181,000 ringgit.

Masyallah berjuta-juta wang rakyat dirampok oleh mereka yang berada di tampok kuasa. Mungkin ini juga antara ciri ajaran Islam Hadhari untuk segera mengaut harta berjuta selagi kuasa masih ada di tangan.

Apakah Badan Pencegah Rasuah perlu menanti laporan polis atau aduan dari orang ramai maka tindakan baru boleh diambil terhadap penyelewengan wang rakyat hasil dari pembayaran cukai? Tidak pula terdengar sebarang komen dari Ketua Pengarah BPR yang baru kemungkinan akan melakukan siasatan segera terhadap kementerian tersebut. Apa yang jelas semasa mengadakan sidang akhbarnya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Mak Cik Montel Rafidah Aziz segera memberikan respons berhubung kepincangan tersebut dan mahu tindakan diambil segera kepada musuh politiknya Azalina Othman.

Terasa lucu dan mahu tergelak juga bila mendengar ngomelan nenek yang dah bergayut bercakap soal kepincangan dalam urus tadbir kementerian kerajaan. Alahai, bila kementerian lain yang terdedah maka segeralah dia membuka mulutnya lebar-lebar membuktikan telus dan berhemahnya dia mentadbir urusan negara, kita cuma ingin bertanya bagaimana dengan pemberian ribuan AP kepada buah hatinya bernama H? Bagaimana dengan laporan rasuah yang dikemukakan oleh GERAK? Sudahkah siasatan menyeluruh dilaksanakan?
Dan terbaru pimpinan muda Umno Terengganu melangkah ke balai polis lagi untuk menebalkan buku laporan pihak polis yang semakin terhimpit oleh kemelut kepimpinan dengan membuat laporan bahawa kalangan perusuh di Kuala Terengganu tempoh hari telah membakar bendera Malaysia. Sejauh mana benar ianya dilakukan oleh kalangan demonstran? Apakah tidak mungkin ia dilakukan oleh agen provokasi yang pastinya berada di kawasan tersebut. Fikir-fikirkanlah.

Abdullah Ahmad Badawi semasa berucap di majlis pelancaran kursus Intergreti kakitangan kerajaan menyatakan bahawa tindak-tanduk setiap penguasa seharusnya sentiasa meletakkan nilai diri terpuji untuk tidak kelihatan tercemar dengan perlakuan sempang-peranang. Perdana Menteri berulang kali menekankan perlunya setiap kakitangan kerajaan dan pemimpin mengamalkan budaya berhemah dan sentiasa amanah. Namun inikah hasilnya dari yang dilafazkan olehnya?

Sesungguhnya semua ini berlaku kerana kesan dari kepimpinan Melalui Tauladan. Disebabkan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi tanpa rasa malu mengagihkan kekayaan negara kepada kalangan kaum kerabatnya terdiri dari Patrick Lim (Monsoon Cup) sedangkan semua orang tahu hubungan keluarga antara Patrick Lim dan isteri Kamaluddin Abdullah membuatkan Abdullah Ahmad Badawi melayannya secara cukup istimewa melalui beberapa pemberian projek secara runding terus. Termasuk juga beberapa kontrak lain yang diberikan kepada kalangan kroni, akhirnya kakitangan dan penguasa dibawa pimpinannya turut melihat dan mengambil tauladan dari sikapnya. Kerana itulah peribahasa Cina ada mengatakan "jika kepala ikan itu busuk maka seluruh anggotanya yang lain turut busuk juga".

Dan kelmarin semasa melawat sekitar taman istirihat minda di "Speakers’ Corner" ternyata kehadiran pendengar begitu ramai sekali.(Mungkin musim panas mengundang suasana cukup santai). Begitu juga kalangan penceramahnya begitu ramai sekali, hampir tiga puluh orang bercakap, ada yang mengutarakan persoalan keagamaan (tentunya antara Islam dan Kristian), ada yang bercakap soal hakisan keyakinan di kalangan pemimpin dunia tidak terkecuali menyentuh persoalan kebobrokkan pemimpin dunia mencetuskan peperangan di Timur Tengah. Terasa lega sedikit kerana budak bernama Joseph tidak berdiri bercakap dan tiada pula terdengar cerita maki hamun terhadap pemimpin negara.

Namun begitu, terasa juga bangga di hati apabila seorang penceramah berkulit hitam menyampaikan ceramah berhubung kehebatan pemimpin dunia sebelum ini. Selain dari memuji sikap Margaret Thatcher (bekas PM British) penceramah tersebut turut menyebut nama Tun Dr. Mahathir sebagai pemimpin paling hebat sebagai jurucakap dunia ketiga era kepimpinannya. Malah, menurut penceramah itu lagi walaupun sudah bersara dari kerajaan namun Tun Dr. Mahathir masih gigih untuk menyanggah kebiadapan pemimpin dunia dalam jenayah peperangan. (moga Tun segera sembuh).

Walaupun begitu ramai yang mendengar ceramah tanpa permit dan mengutarakan pelbagai kritikan termasuk soal berkaitan dengan agama, namun tidak pula tercetus sebarang pergaduhan mahupun mengganggu kenteteraman awam. Anehnya di Malaysia hanya untuk menganjurkan ceramah umum berhubung soal pilihan raya yang dituntut supaya sentiasa bersih dari elemen korupsi dan tipu muslihat terpaksa pula memakan korban dua anak muda ditembak dengan peluru hidup... hairan lagi menakjubkan.

Walau apa pun di sebalik berita tersebut terbaca pula keputusan isteri ketua-ketua kerajaan yang menghadiri persidangan APEC di Sydney yang menyatakan bahawa mereka bersepakat untuk tidak melayan kehendak seks suami mereka sekiranya perang di Iraq masih belum tamat.... Cetusan idea dari isteri pemimpin beberapa buah negara melalui legasi "LYSISTRATA" membuatkan saya terfikir apakah Jeanne Danker boleh bersetuju dengan keputusan tersebut sedangkan dirinya baru menikmati musim bulan madu setelah sebegitu lama menjadi gurun sahara yang kering dan kontang.....

kuchalana

Only Those Who Risk Going Far Can Possibly Find Out How Far They Can Go

No comments :