Pages

Kisah anak Ananda Krishnan jadi sami


* kadang2 manusia hidup bukan kerana dunia.. but this story mmg mengejutkan.. tetapi tidak mustahil..jarang kita lihat anak org yg kaya dgn harta dunia akan hidup bahagia.. kat sebelah ni special gamba ananda masa skolah dulu... aku dptkan dari website oldboy skolah aku... dia ni mmg dari skolah suka berdebat dan salah seorang manusia hebat dkt skolah masa zaman tu... gamba dia yg pakai kot itam pegang shield tu...

ANANDA... benarkah anak lelaki tunggalnya minta sedekah di KLCC?

Oleh Khalid Jaafar

SEHINGGA sekarang saya tidak memahami sepenuhnya apa yang berlaku di Pejabat Anwar Ibrahim sepanjang saya berkhidmat di sana selama 10 tahun, di kementerian pendidikan, kementerian kewangan dan pejabat timbalan perdana menteri.
Pejabat itu adalah yang paling kompleks, mengatasi kompleksiti pejabat pm. Selalu ada orang yang mengejutkan masuk ke-pejabatanya.
Setiausaha-setiausahanya akan bertanya-
tanya: siapa orang itu? Bagaimana dia boleh dapat appointment jumpa tpm? Orang itu tidak akan dapat menemui tpm jika namanya dan waktunya tidak dituliskan dalam Diari Merah, ditulis oleh tpm sendiri atau orang yang memegang diari tersebut. Dan hanya seorang yang memegangnya.
Sebagai contoh: Suatu hari saya ternampak sami Buddha memasuki pejabat tpm. Satu tahu itu sami Buddha kerana kepalanya botak dicukur, memakai jubah kuning kunyit dan berselipar Jepun. Hanya ada seorang lain yang berjubah datang menemui Anwar di pejabatnya. Tetapi dia tidak pakai jubah kuning kunyit, selalunya cokelat muda, berserban dililit cara Hadharmaut dan memakai sepatu murah. Orang itu adalah Haji Ismail Mina.
Setiausaha-setiausaha di pejabat tidak memandang serius haji ini yang rupanya hanya seperti orang kampong dan tidak melayannya sebagaimana mereka melayani menteri-menteri atau tokoh-tokoh korporat. Hanya saya yang melayaninya dibilek tetamu atau dibilik saya sendiri. Saya senang berbual dengannya dan dia pandai berseloroh. Bila dia akan menyatakan pendiriannya yang serius dia akan berkata: "Ya akhi, enta kena faham, ana ......"
Orang perantaraan TPM dan Presiden PAS
Kawan-kawan dipejabat hanya mengenalinya sebagai salah seorang"geng Abim". Mula-mula saja juga menjangka beliau salah seorang dari kawan lama Anwar yang datang membawa business proposal. "Sheikh pun kena tolong orang-orang kita," kata haji tersebut. Akhirnya saya tahu beliau adalah orang perantaraan antara Anwar Ibrahim dengan Uztaz Fadhil Nor yang ketika itu presiden Pas. Rahsia itu pecah pada suatu malam.
Saya datang ke rumah bos untuk berbincang tetang ucapannya yang akan datang. Perbincangan dipendekan dan Anwar berbisik meminta saya meninggalkan rumahnya. Tidak ada orang lain ketika itu dan saya heran kenapa dia tergesa-gesa. "Ismail Mina nak datang bawa Ustaz Fadhil. Dia tidak akan masuk rumah kalau ada orang lain." Maka sayapun beredar segera.
Saya faham apa urusan haji berjubah cokelat menemui Anwar. Tetapi sami Buddha berjubah kuning kunyit? Setelah beberapa saat sami itu masuk dan pintu ditutup saya baru terlintas bahawa saya mengenalinya. Saya berlari dan masuk ke pejabat tpm untuk menyapanya. "How are Timi," kami bersalaman intim. Dan perbualan tersebut saya menyanya soalan yang sekarang saya kira agak bodoh. "Sudahkah kamu sampai ke Nirwana?" Dia menjawab dengan nada yang tawadhu, dan saya meninggalkannya berbual dengan Anwar, dan saya tidak tahu apa yang mereka perbualkan.
Timi anak lelaki tunggal Ananda Krishnan
Timi adalah anak lelaki tunggal orang terkaya Malaysia, Ananda Krishnan. Kami bertama kali bertemu di Andalusia, Sepanyol, September 1994. Pada waktu itu ada persidangan tahunan IMF dan Bank Dunia di Madrid yang perlu dihadiri oleh Anwar sebagai menteri kewangan. Selepas itu beliau perlu pergi ke Washington untuk menerima anugerah presiden Universiti Georgetown kerana sumbangannya terhadap dialog antara kebudayaan dan memberi ucapan.
Paul Wolfowitz, ketika itu dekan SAIS (School of Advanced International Studies), juga mengundang Anwar untuk memberi pidato di universitynya. Acara begitu padat maka pak menteri membawa tiga setiausaha bersamanya selain dari tim keselamatan. Yang pertama, dan tidak boleh tidak, adalah pemegang Dairi Merah. Tanpa dia acara menteri akan jadi puting beliung. Keduanya Muhammad Ahmad (Allahyarham) setiausaha sulit kanan di kementerian kewangan kerana urusan IMF-Bank Dunia dan akhir sekali saya untuk menjaga penyediaan ucapan dan membuat pindaan saat-saat akhir yang dituntut oleh menteri.
Merancang perjalanan dan penerbangan bukanlah mudah. KL ke London, London ke Paris, Paris ke Madrid, Madrid ke Washington. Dan disetiap kota ada acara dan temu janji. Di London menemui Gordown Brown, di Paris menemui Jacques Chirac, dan orang Malaysia yang ikut serta juga ingin menemui tpm. Maka untuk memudahkan penerbangan pemegang Dairi Merah menyewa jet milik Ananda Krishnan untuk penerbangan beberapa sektor.
Kami sampai beberapa hari lebih awal sebelum persidangan IMF-Bank Dunia di Madrid. Anwar Ibrahim mahu melihat kesan-kesan peninggalan tamadun Islam di Andalusia. Ananda membawa Timi kerana anak muda itu tahu berbahasa Sepanyol untuk membantu kami berkemunikasi dengan penduduk tempatan.
Timi adalah seorang intelektual dan ketika itu menjadi penulis pada Men's Review, sebuah majalah kosmopolitan yang telah menjadi mendiang. Dia juga seorang yang sangat idealis dan dalam berjalan-jalan di Andalusia Anwar sempat membisikan kepada saya bahawa Timi sering mengkritik perniagaan bapanya.
Hati kecil saya berbisik dan menyindir: memang mudah anak jutawan menjadi idealis, mereka punya wang dan waktu untuk itu. Aktivisis gerakan sosialis hampir semuanya datang dari keluarga burjuis yang selesa, mereka punya masa untuk mencerca penindasan di pasaran, sementara orang miskin cuma ada masa untuk bergelut dalam pasaran untuk mendapatkan sesuap nasi.
Saya tidak ingat lagi apa yang bualkan dengan Timi. Beliau belum jelas apa yang beliau buat dalam hidup. "Men's Review bagus, majalah untuk golongan bercita rasa canggih" kata saya. "Tetapi editingnya lemah," kata Timi.
Saya ingatkan hubungan Timi dengan tpm akan tamat di Andalusia kerana dia tidak berminat dengan perniagaan bapa dan tidak mahu menjadi pewaris tahta empayar Ananda. Di kalangan kroni-kroni Mahathir, Ananda, kata bosku, adalah yang agak celik intelektual dan tidak tuli kebudayaan. Dalam sebuah restoran saya menjadi saksi kepada perdebatan antara sang taikun dengan sang politikus. Perdebatan agak panas.
Debat Anwar dan Ananda Krishnan Anwar menyebutkan kritik-kritik sosial yang dibuat oleh John Kenneth Galbraith terhadap sistem ekononomi dan industri. Galbraith kini tidak lagi dibaca tetapi dekad-dekad 70an dan 80an, tokoh ekonomi dari Universiti Harvard itu merupakan antara public intellectual dunia sebagaimana Amartya Sen hari ini. "Semasa saya di Harvard," kata Ananda untuk menumpulkan hujah Anwar, "Galbraith tidak dilihat sebagai ekonom."
Anwar tidak menerima gugatan sang kapitalis kroni itu dan melancarkan kuliah pendek tentang krisis disiplin ekonomi semasa yang mengabaikan aspek sosial, kebudayaan, alam sekitar dan keadilan. Kak Wan, Timi dan saya hampir-hampir hilang selera untuk makan.
Mujur Ananda, dengan amat diplomatis, memberek hujahnya dan memberikan kemenangan kepada orang yang beliau lihat ketika itu sebagai bakal pengganti Mahathir dan dia sebagai usahawan yang memerlukan naungan politik tidak boleh berkelahi dengan orang yang bakal menduduki kerusi pm.
Saya tidak tahu apakan kesan perdebatan itu pada Timi. Tetapi beberapa bulan selepas itu saya mendengar dari mulut Ananda sendiri bahawa Timi telah menyertai sangha sebagai persediaan untuk menjadi bhikku. Ini samalah seperti orang Islam menyertai tarekat.
Minta sedekah di KLCC
Tetapi orang Islam yang menyertai tarekat boleh berkahwin, berkeluar, kena juga bekerja atau berniaga supaya dapurnya berasap. Menjadi seorang bhikku bermakna hidup menjalani disiplin rohani dan meditasi untuk sampai ke nirwana dan keperluan hidup jasad diperolehi dengan minta sedekah. Bila Timi memberitahu bapanya dia ingin menyertai sangha untuk menjadi Bhikku, Ananda merasakan tujuh petala langit akan runtuh. Seperti krisis yang melanda Hastinapura yang dibabadkan dalam Mahabharata.
Santanu, raja Hastinapura, telah mati meninggalkan empat orang putera. Seorang putera mati muda sebelum berkahwin. Dua orang lagi sempat berkahwin tetapi mati sebelum menghasilkan zuriat. Seorang lagi, Bhisma, putera sulung dan seharusnya menjadi putera mahkota, telah membuat sumpah yang menggegarkan langit untuk tidak berkahwin sepanjang hayat dan tidak akan mempunyai anak.
Tahta Hastinapura digugat kepupusan. Mungkin begitu juga fikir Ananda pada tahta korporatnya. Ananda menghantar Timi berjumpa Anwar dan meminta tpm menasihatkan anaknya. Apa yang Anwar nasihatkan pada Timi saya tidak tahu tetapi yang jelas adalah putera mahkota empaya Ananda makin ghairah untuk menjadi sami.
Setelah pertemuan pendek di pejabat tpm saya tidak lagi menemui Timi. Dewasa ini bila saya minum dan ngobrol di Jalan Telawi, baik di Nirwana Maju atau Davi's Corner atau Coffee Bean, pernah juga didatangi oleh bhikkuni (bhikku perempuan) yang minta sedekah.
Maka saya akan bercerita kepada kawan-kawan tentang kisah Timi yang telah meninggalkan kekayaan duniawi untuk menempuh jalan ke Nirwana. Di manakah Timi sekarang? Kenapa dia tidak datang ke Nirwana Maju untuk minta sedekah. Baru-baru ini saya diberitahu oleh Eddin Khoo, Timi hanya minta sedekah di KLCC, simbol empayar dan kekayaan duniawi bapanya.
Penulis merupakan bekas setiausaha akhbar Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kini merupakan ahli Majlis Tertinggi PKR- Pengarang

kuchalana

Only Those Who Risk Going Far Can Possibly Find Out How Far They Can Go

No comments :