Pages

Harga minyak mungkin naik kepada AS$70-AS$80 setong

(Bernama) -- Harga minyak mungkin melonjak kepada AS$70-AS$80 setong dalam jangka masa sederhana sekiranya negara-negara tidak menghentikan peningkatan yang berterusan dalam penggunaan, demikian menurut seorang pegawai Emirates National Oil Co Ltd di sini hari ini.
Hussain Sultan, ketua eksekutif kumpulan ENOC berkata hasilnya, "ekonomi dunia akan sekali lagi membuat pengiraan secara serius" memandangkan "dunia tidak begitu selesa dengan minyak berharga sekitar AS$60-AS$70 setong."
Dengan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) menghadapi penurunan dalam keupayaan pengeluaran, dunia tidak boleh membiarkan penggunaan minyak pada paras yang meningkat, kata beliau dalam kertas kerjanya yang bertajuk "Perubahan Arah tuju Minyak - Pengalaman ENOC" pada Persidangan Minyak dan Gas Asia 2007 kali ke-12 di sini.
Beliau berkata unjuran Goldman Sachs dua tahun lepas bahawa harga akan mencecah AS$100 setong tidak menjadi kenyataan kerana mengikut keadaan sekarang, "paras berkenaan tidak mampan."
Beliau juga melahirkan kebimbangan dengan pengembangan pantas dalam ekonomi China dan India di mana antara kedua-duanya, dunia memerlukan tambahan lima juta tong sehari pada 2010 dalam tempoh penggunaan hari ini.
Eksekutif tertinggi dalam syarikat minyak itu berkata Asia dan Timur Tengah memerlukan satu kaedah penetapan harga yang telus, bebas dan adil daripada penetapan harga yang sedang dilakukan di Amerika Syarikat.
Beliau berkata dengan pusat penggunaan utama bagi minyak di Asia dan Timur Tengah, penetapan harga kini masih dikawal oleh harga West Texas Intermediate (WTI) dari Cushing di Oklahoma.
"Hakikat bahawa penetapan harga diputuskan di sebuah lokasi di Amerika Syarikat di mana faktor tempatan Asia dan Timur Tengah tidak memberi impak yang banyak terus mempengaruhinya," kata beliau dalam kertas kerja itu.
WTI merupakan sejenis minyak mentah yang digunakan sebagai pendasar dalam penetapan harga minyak di Cushing, hub utama dalam bekalan minyak serta terkenal sebagai tempat penyelesaian harga.
Beliau berkata malah pasaran Singapura, di mana kebanyakan produk Asia ditentukan harga, mengambil petunjuk WTI.
"Hari ini mungkin ia bukan merupakan proses yang adil, namun kami perlu memperakui bahawa inilah sahaja proses yang ada sekarang," katanya.
Harga minyak bergantung bukan sahaja kepada faktor-faktor tradisional yang mempengaruhi seperti permintaan dan bekalan, cuaca, spesifikasi serta geopolitik, tetapi peningkatan dalam keadaan saling mempengaruhi komoditi seperti logam, kadar tukaran asing dan malah pengeluaran pertanian.

kuchalana

Only Those Who Risk Going Far Can Possibly Find Out How Far They Can Go

No comments :